top of page

SEJARAH &

WARISAN

a581a257-b1ad-4356-bc69-76c9575a965e.jpg

SEJARAH GAYONG MALAYSIA

     Darah yang mengalir di dalam batang tubuh Meor Abdul Rahman adalah darah Bugis yang diwarisi daripada Daeng Kuning, seorang pendekar terbilang dari kepulauan Riau. Daeng Kuning yang nama islamnya, Pengeran Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan gelaran Panglima Hitam adalah salah seorang daripada keturunan Daeng Merewah. Pahlawan Bugis lima bersaudara dari keluarga Raja Bugis Luwuk, Daeng Rilakka yang berasal dari kepulauan Sulawesi. Pahlawan Bugis Lima bersaudara ini, sangat terkenal yang sangat-sangat digeruni dan dihormati di seluruh Makasar, Riau, Siak dan juga pulau-pulau Melayu yang berhampiran. Ini adalah kerana Pahawan Bugis lima bersaudara menguasai laluan samudra dan peristiwa kegagahan dan keperkasaan mereka sepanjang pelayaran di seluruh pelusuk nusantara Melayu, bumi China dan tanah Kerling (India) cukup dikenali ramai dan sangat mahsyur ketika itu. 


     Pada abad ke 17, Syarikat Hindia Belanda mula memasuki kepulauan nusantara untuk berdagang dan apabila Belanda mula menjajah serta berkuasa di kepulauan Sulawesi keadaan tidak lagi aman dirantau sana. Kelima-lima beradik ini, diketuai Daeng Perani yang paling tua, Daeng Menambon, Daeng Marewah, Daeng Celak dan yang bongsu adalah Daeng Kemasi telah belayar meninggalkan tanah Bugis untuk mencari tapak penghidupan baru. Mereka telah menjelajah ke serata kepulauan Melayu lalu bertebaran menetap khususnya di Kuala Selangor, Kelang, Lingga, Sumatra, Champa, Patani dan kepulauan Riau. Pada 1782, angkatan perang Belanda telah menyerang kerajaan Riau dan dikalahkan oleh angkatan perang Raja Haji Fisabilillah. Namun pada 1784, ketika angkatan perang Raja Haji membantu Raja Sulaiman Johor menyerang Kota Melaka, Raja Haji telah terkorban syahid di Teluk Ketapang Melaka.


     Pada 1786, angkatan perang Belanda telah menyerang dan berjaya menawan kerajaan Riau selepas berperang hampir setahun. Raja Ali Ibni Daeng Kemboja ibni Daeng Perani bersama para perajurit dan ahli keluarganya telah berundur mencari perlindungan di Sukadana Kalimantan. Pada 1787, pihak Belanda telah menandatangi satu perjanjian dengan Sultan Mahmud III dan pembesarnya diatas Kapal Perang Belanda bernama Utrecht bersama Laksamana Van Braam. Namun begitu pihak Belanda berasa tidak selamat di tanah Riau lalu terus memburu pahlawan-pahlawan bugis Riau yang diketuai Raja Ali ibni Daeng Kemboja bagi memastikan tiada tentangan keatas penguasaan Belanda di bumi Riau. Pasukan Raja Ali ibni Daeng Kemboja bersama pahlawan Bugis, perajurit dan ahli keluarganya telah berundur mencari perlindungan, berpindah randah dari Sukadana Kalimantan ke kepulauan Siantan dan Kepulauan Tembelan dan seterusnya ke tanah semenanjung dan bumi Pasai Sumatra. 


     Pasukan perajurit serta keluarga Raja Ali ibni Daeng Kemboja adalah dari Pahlawan Gayong tujuh bersaudara terdiri dari keluarga serta cucu cicit keturunan Daeng Merewah, Daeng Chelak, Daeng Perani manakala Daeng Pelangi dari keluarga Daeng Kemasi dan Daeng Jalak dari keluarga Daeng Menambun. Mereka telah berjuang menentang penjajahan Belanda di Nusantara melayu khususnya kepulauan Riau dalam Perang Riau-Belanda pada sekitar tahun 1786 – 1803.

Meor-Rahman_Silhouette_Grey.png

     Pada tahun 1813, Pengeran Abdul Rahman atau Daeng Kuning telah mendarat di kuala Larut dan tempat persinggahan mereka itu dikenali sebagai Pengkalan Alur atau Relur Tujuh (kini dikenali sebagai Ayer Kuning). Daeng Kuning memilih untuk menetap di di Relur Tujuh dan memulakan penghidupan baru. Saudara-saudara Daeng Kuning yang lain telah meneruskan pelayaran dan berpecah ke seluruh Tanah Melayu, mengikut firasat masing-masing.


     Daeng Kuning terkenal dengan kemahirannya bermain senjata sundang lipas dan kain lembar bugis(Chendai). Hasil perkongsian hidup Daeng Kuning dengan seorang puteri Raja Pattani, beliau telah dikurniakan seorang putera yang kemudiannya dikenali dengan panggilan Penghulu Che’ Ngah Tambah. Daeng Kuning meninggal dunia pada tahun 1875 di Taiping, Perak. Penghulu Che Ngah Tambah ialah orang yang membuka daerah Matang dan telah dilantik oleh Sultan Perak sebagai salah seorang Orang Besar Lapan.


     Penghulu Che’ Ngah Tambah pula telah mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Uda Mohd. Hashim. Uda Mohd.Hashim (seorang arkitek) kemudiannya mendirikan rumahtangga dengan Sharifah Aluyah binti Syed Zainal Al-Attas dan dikurniakan dua orang putera dan seorang puteri. Putera sulong dinamakan Meor Abdul Aziz, manakala puterinya dinamakan Siti Sa’adiah dan putera keduanya dinamakan Meor Abdul Rahman dilahirkan pada 17 Ogos 1915 di Kampung Lake Garden,Taiping.


     Meor Abdul Rahman mula mempelajari ilmu persilatan ketika berusia 12 tahun ( sekitar tahun 1927) daripada nenda sebelah bondanya, iaitu Tuan Syed Zainal bin Syed Idris Al-Attas. Syed Zainal Syed Idris merupakan salah seorang hulubalang Istana Pahang yang turut sama berjuang menentang campur tangan Inggeris di negeri Pahang. Syed Zainal mewarisi ilmu Pahlawan Gayong daripada Daeng Ambok Solok, seorang pahlawan Bugis yang tinggal di Jambi, Sumatera.


     Meor Abdul Rahman berlatih dan mempelajari ilmu Silat bersama-sama dengan penuntut dan murid-murid Syed Zainal yang lain selama hampir lima tahun. Ketika berusia 18 tahun, Meor Abdul Rahman telah berjaya menguasai selok-belok ilmu Pahlawan Gayong, termasuklah adat-istiadatnya. Walaupun demikian, nenda beliau tidak mengkhatamkannya kerana menurut firasat Syed Zainal, cucunya Meor Abdul Rahman akan menyambung dan mewarisi Ilmu Pahlawan Gayong bila tiba masanya nanti.


     Pada tahun 1934, ketika berusia 19 tahun, Meor Rahman telah menceritakan pengalaman beliau bermimpi bertemu Laksamana Hang Tuah kepada Nendanya, seterusnya Syed Zainal Syed Idris berpesan bahawa ilmu Pahlawan Gayong yang diwarisi beliau akan disambung dan diwariskan kepada cucunya itu kelak. Meor Abdul Rahman telah di amanahkan untuk mengembangkan ilmu Pahlawan Gayong oleh nendanya Syed Zainal mengikut syarat-syarat tertentu, pada masa-masa tertentu dimasa depan.


     Meor Abdul Rahman telah digelar Rahman Sendo oleh baginda Sultan Alang Iskandar setelah menunjukkan kegagahan dan kependekarannya di hadapan sultan dan pembesar-pembesar istana. Baginda Sultan juga telah berkenan untuk mengambil beliau sebagai anak angkat dan Meor Abdul Rahman telah tinggal di istana sehinggalah baginda Sultan mangkat pada tahun 1938. Seterusnya pada tahun yang sama, Meor Abdul Rahman telah merantau ke Singapura untuk mencari pekerjaan. Beliau telah bekerja sebagai tukang pateri di tapak pembinaan pengkalan laut tentera British, kemudian menjadi Mekanik kenderan dan selepas menunjukan kebolehannya menewaskan beberapa pegawai tentera British yang membuli beliau, peristiwa tersebut telah disaksikan oleh pemerintah Gillman Barrack, Lt. Pope kem tentera British, iaitu di Royal Signal Corp, Gillman Barrack. Meor Abdul Rahman telah ditawarkan menjadi Jurulatih Kombat di Royal Signal Corp. Gillman Barrack kem, bertugas mengajar tentera British seni tempur tanpa senjata.

     Apabila tentera Jepun menyerang Singapura pada tahun 1942, Meor Abdul Rahman bersama-sama keluarganya telah menyelamatkan diri ke Pulau Sudong, iaitu sebuah pulau di selatan Singapura. Setelah melalui pelbagai dugaan dan cabaran, beliau dan keluarganya akhirnya dibenarkan menumpang di pulau tersebut. Di Pulau Sudong inilah, ilmu Pahlawan Gayong mula diperkenalkan dan diilhamkan semula sebagai Silat Seni Gayong,kepada penduduk-penduduk Pulau Sudong, kerana pada zaman yang tiada undang-undang ketika itu, seni silat amat-amat diperlukan untuk mempertahankan maruah diri dan kaum keluarga. 


     Setelah Meor Abdul Rahman berjaya menyelamatkan penduduk Pulau Sudong daripada ancaman tentera Jepun, barulah Silat Seni Gayong diterima dan diajar kepada seluruh penduduk Pulau Sudong. Setelah beberapa ketika, berada di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman dan keluarganya pun pulang semula ke Taiping, Perak.


     Pada tahun 1943, Meor Abdul Rahman telah ditangkap dan dipenjarakan di penjara Taiping oleh pemerintah Jepun. Beliau telah dituduh mahu menentang pemerintahan Jepun (kerana bertindak melawan askar Jepun yang cuba mengganggu isterinya). Beliau telah dijatuhi hukuman gantung. Sewaktu dibawa ke tempat penggantungan, beliau dengan gagahnya telah melawan dan berjaya menumpaskan askar-askar Jepun (lengkap bersenjata) yang mengawalnya. Akibat daripada peristiwa itu, hasil campur tangan Uda Mohd Hashim, pihak Jepun telah membebaskan Meor Abdul Rahman kerana tidak mahu menanggung kerugian yang lebih besar lagi. Tidak lama kemudian, Meor Abdul Rahman telah dipaksa menjadi tentera Jepun.


     Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Meor Abdul Rahman dan keluarganya sekali lagi telah berhijrah ke Pulau Sudong. Beliau telah dipelawa menjadi penghulu di situ. Setelah menetap di Pulau Sudong, Silat Seni Gayong telah berkembang ke pulau-pulau berhampiran, termasuklah pulau-pulau yang berada di dalam wilayah Indonesia.


     Pada tahun 1947, Meor Abdul Rahman telah berpindah ke pulau besar Singapura kerana ditawarkan menjadi mata-mata gelap di Jabatan Siasatan Jenayah Singapura. Pada tahun ini juga, beliau telah dianugerahkan pingat King George VI oleh kerajaan British di atas jasanya menentang pendudukan Jepun di Singapura. Dari tahun 1948, beliau gigih mengembangkan Silat Seni Gayong di Singapura dan seterusnya ke Semenanjung Tanah Melayu. Setelah bersara dari jabatan keselamatan, beliau telah menubuhkan sebuah Institut Latihan Silat Seni Gayong yang dinamakan Seni Gayong School Woodlands, di Lorong Fatimah, Woodlands, Singapura. Di sinilah gurulatih-gurulatih awal Gayong dari Semenanjung Tanah Melayu mendapatkan pelajaran dan mendalami ilmu Silat Seni Gayong mereka.


     Pada tahun 1959, Meor Abdul Rahman telah bertemu dengan Dato’ Onn bin Jaafar, pengasas UMNO dan penentang kuat gagasan Malayan Union. Dato’ Onn telah melamar untuk menjadi murid Gayong. Dato’ Onn telah mencadangkan supaya Silat Seni Gayong ini didaftarkan agar menjadi suatu pertubuhan yang sah di sisi undang-undang. Mulai tahun 1959, usaha-usaha telah dimulakan untuk mendaftarkan silat ini, pemohonan mendaftar pertubuhan dibuat oleh Meor Abdul Rahman sendiri dengan mengisi jawatan Yang Dipertua atau presiden dan Dato’ Onn Jaafar selaku Setiausaha Agong pertubuhan. Akhirnya pada, 22 Oktober 1963, Silat Seni Gayong telah lulus pendaftarannya atas nama Pertubohan Silat Seni Gayong dengan nombor pendaftaran 361. PSSGM merupakan pertubuhan silat yang pertama sekali didaftarkan di Malaysia. Selepas Gayong didaftarkan, perkembangannya menjadi lebih meluas. Dari Singapura, Gayong telah berkembang ke negeri Johor dan seterusnya ke utara tanah Melayu.

Meor-Rahman_Silhouette_Grey_2.png

     Meor Abdul Rahman telah mencipta Silat Seni Gayong dari ilham yang dizahirkan nya sejak tahun 1938 dan 1942. Ilmu Silat Seni Gayong telah diciptakan oleh Mahaguru secara terperinci dan lengkap merangkumi Sistem pelajaran Silat Seni Gayong, Adat Istiadat, sistem lembaga Adat, tugas ahli lembaga Adat, Guru dan Jurulatih, Tingkatan Guru-Gurulatih dan Juru-Jurulatih, Tingkatan Talipinggang penarafan dan pencapaian Ilmu, Wakil Tapak Gayong, Selempang Kebesaran Gayong, Badan Penapis Amanah Adat Gayong serta pengurusan pentadbiran pertubuhan.


     Perincian ilmu Silat seni Gayong telah dirakamkan dalam perlembagaan pertubuhan melambangkan pembentukan jati diri ahli Gayong dan keaslian ilmu Silat Seni Gayong yang diciptakan oleh Mahaguru Gayong Meor Abdul Rahman sendiri. Perlembagaan pertubuhan pendaftaran 361 telah dirujuk dan digunapakai selama 31 tahun oleh sekalian ahli dan murid Gayong dari tahun 1963 hingga 1994.


     Perlembagaan pertubuhan pendaftaran 361, mencatatkan dan menjelaskan bahawa Silat Seni Gayong ini adalah ciptaan Mahaguru Meor Abdul Rahman sendiri dan bukannya ditiru daripada silat-silat yang lain. [Peraturan 30. (3) m.s 33]


     Ilmu tertinggi Silat Seni Gayong dilambangkan pada tingkatan talipinggang Guru-guru, Gurulatih dan Jurulatih merangkumi semua segi matapelajaran Silat Seni Gayong, pecahan tapak, Seni pecahan, Ilmu seni tapak Harimau Gayong. Ilmu Senjata Gayong merangkumi Pisau, Simbat, Parang Panjang, Lembing(seni), Chendai, Yoi dan Belian(Seni).


     Tahap Talipinggang Pelangi Hitam yang dikenali sebagai Harimau Pelangi Cula Sakti merangkumi Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 merupakan tingkatan tertinggi dalam ilmu Seni Tapak Harimau Silat Seni Gayong.


     Talipinggang yang dipakai oleh Mahaguru Meor AbduL Rahman merupakan lambang ilmu dan kuasa tertinggi dalam Silat Seni Gayong. Harimau Pelangi Cula Sakti Tingkatan 7 (VII) adalah talipinggang peribadi milik Mahaguru yang di gelar dengan panggilan “HARIMAU PELANGI AGONG MAHKOTA SAKTI” memberi kuasa mutlak Mahaguru untuk melantik, memberi penarafan dan kuasa menarik pemberian. Ianya lambang “Punca Kuasa” dan pemilikan keatas kuasa. (Talipinggang ini dipakai oleh Mahaguru, Talipinggang Harimau Pelangi Agong Mahkota Sakti, Talipinggang peribadi Mahaguru, Talipinggang ini juga dipakai oleh Mahaguru dan tidak boleh diturunkan kepada murid-murid, Talipinggang ini hanya diturunkan kepada Zuriat Mahaguru sendiri – Amanah Mahaguru).


     Talipinggang Harimau Pelangi Cula Sakti ini akan diadakan ujian pertandingan untuk mendapatkan antara satu Tingkatan kepada satu Tingkatan yang hanya dihadkan sehingga keTingkatan Enam sahaja. – [Rujukan, Peraturan 35 (3) m.s 41.]


     Pada tahun 1989, Mahaguru Meor Abdul Rahman telah mengeluarkan surat Pewarisan amanah yang bertajuk, Pewarisan mengekalkan kesambungan Silat Seni Gayung Malaysia dan Serantau bertarikh 09hb September 1989 di kediaman beliau di Air Kuning, Taiping Perak, menyatakan bahawa Mahaguru telah melantik dua (2) orang pewaris pejuangan Silat Seni Gayung dimasa depan iaitu Puan Rokiah Bt. Naning@ Meor Rahman bagi bahagian wanita dan bahagian lelaki kepada Hj Ahmad bin Lazim yang diamanahkan sebagai pewaris zuriat perjuangan silat seni Gayung di masa akan datang. Mahaguru menyatakan “ Begitu juga tahap mereka berdua ini yang saya telah perturunkan segala ilmu di tangga Talipinggang Hitam Harimau Pelangi Cula Sakti Tingkatan 6 dan saya sendiri memegang tingkatan 7, tidak ada yang lebih daripadanya.” - [Surat Pewarisan bertarikh 09 September 1989, m.s 2, perenggan 4]

     Dengan merujuk kepada kesambungan Ilmu yang diwarisi oleh Meor Abdul Rahman dari nendanya Syed Zainal Syed Idris Al-attas serta catatan buku perlembagaan PSSG pendaftaran 361 dan Surat Pewarisan 8hb September 1989 serta kenyataan dari anakanda Mahaguru Hajah Siti Fadzilah Meor Rahman, bahawa Mahaguru Meor Abdul Rahman telah meletakkan Zuriat beliau sebagai penerus punca kuasa yang akan mengawasi, memayungi serta memandu perjalanan Silat Seni Gayong seterusnya dimasa depan.


     Dato’ Mahaguru Meor Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah dengan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar, Ipoh, Perak pada 23hb Jun 1991, dengan meninggalkan anakanda beliau Hajjah Siti Fadzilah, Sepuluh cucu dan beberapa anak angkat.

الْفَاتِحَة

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

. الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ . الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ . مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ

. إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ . اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

Perlembagaan pertubuhan pendaftaran 361, (1963 hingga 1994)
[Peraturan 30. (3) m.s 33] menyatakan:
“Silat Seni Gayong ini adalah ciptaan Mahaguru Meor Abdul Rahman sendiri dan bukannya ditiru daripada silat-silat yang lain.”


Perlembagaan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (1995 hingga 1998)
Peraturan dan Perlembagaan Pindaan 1995.
[Peraturan 4 (6)] menyatakan:
“Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman yang mencipta Silat Seni Gayong akan dikecualikan membayar sebarang yuran sebagai ahli pertubuhan. Beliau mempunyai hak yang sama sebagai ahli-ahli yang lain dalam pertubuhan ini.”


Perlembagaan PSSGM Pertubuhan Induk bercawangan

(No. Pend: PPM-010-04-09042013)
Fasal 3 (6) menyatakan:
“Kesinambungan Silat yang dicipta oleh Allahyarham Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman bin Daing Uda Mohd Hashim, yang akan terus diwarisi oleh ahli-ahli pertubuhan.”


Fasal 30 (7) menyatakan:
Lembaga Waris Amanah Silat Seni Gayong Malaysia dan keseluruhan ahli-ahli pertubuhan mengakui bahawa Silat Seni gayong ini adalah ciptaan Allahyarham Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman Bin Daing Uda Mohd Hashim dan bukan ditiru daripada Silat Silat atau seni bela diri yang lain.

SUMBER RUJUKAN

Perlembagaan Pertubuhan Silat Seni Gayong No. Pendaftaran 361 (1963 hinga 1994)
Majalah Dewan Masyarakat 1975
Utusan Zaman 1957
Utusan Film dan Sports 1957
Majalah Mastika 1958
Utusan Malaysia Mac 2012
Buku Perlembagaan Pertubuhan PSSGM (pindaan 1995) - Akta 1966 peraturan 1984
Buku Perlembagaan PSSGM Pertubuhan Induk bercawangan – No. Pend: PPM-010-04-09042013

WARIS KETURUNAN MAHAGURU

YANG SEBENAR:


DATO' PADUKA HAJJAH SITI FADZILLAH BINTI DATO' MEOR RAHMAN

WARIS MUTLAK MAHAGURU

1941- Ketika meletusnya serangan Jepun keatas tanah Melayu, Siti Fadzillah baru berusia 2 bulan bersama ayahanda Dato’ Mahaguru Meor Abdul Rahman dan bondanya Datin Kalsom yang ketika itu berada di Singapura telah berundur ke Pulau Sudong. Siti Fadzillah tingal di pulau Sudong bersama keluarganya sehingga berusia 2 tahun sebelum dibawa pulang ke Taiping, semenanjung Tanah Melayu.

1945 - Jepun telah menyerah kalah pada bulan September 1945 ketika Siti Fadzillah berusia 4 tahun. Beliau bersama bondanya telah dibawa semula oleh ayahandanya Dato’ Mahaguru Meor Abd Rahman ke Pulau Sudong kerana berkhidmat sebagai Penghulu dan mengembangkan Silat Seni Gayong ke kepulauan nusantara. Semasa tinggal di Pulau sudong, Siti Fadzillah sentiasa dibawa kemana saja oleh ayahandanya. Ayahandanya mempunyai sifat penyayang kepada anak kecil.

1947- Dato’ Meor Abd Rahman ditawarkan bekerja di Jabatan Kementerian Dalam Negeri British di Singapura dan pada 23hb Disember 1947 telah menerima penganugerahan pingat King George IV atas keberanian dan jasa bakti kepada masyarakat setempat dan sekitar kepulauan Singapura. Peristiwa penganugerahan Pingat kepada ayahandanya ini disaksikan oleh Siti Fadzillah yang ketika itu berusia 6 tahun bersama bondanya pada satu majlis gilang gemilang dipusat pentadbiran kerajaan British di Singapura. Pada bulan tahun 1949, Silat Seni Gayong dikembangkan secara rasmi bertempat di Kuaters, Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan di Bakar Sampah jalan Red Hill, Singapura.

1951- Ketika berusia 10 tahun, Siti Fadzillah kerap dibawa bersama oleh Dato’ Meor Abd Rahman keserata tempat di Singapura dan beberapa pulau sekitarnya seperti pulau Bukom dan pulau Sena atas pemintaan masyarakat setempat untuk memperkenalkan dan mengembangkan ilmu Silat Seni Gayong.

1955 - Selaku anak sulung yang tunggal, ketika berusia 14 tahun Siti Fadzillah telah ditabalkan oleh ayahandanya Dato’ Mahaguru Meor Abdul Rahman sebagai waris keturunan mutlak dan disandangkan dengan istiadat penuh Silat Seni Gayong, beliau telah diamanahkan dan diperturunkan ilmu istiadat perlimau Gayong. Istiadat pertabalan tersebut telah berlangsung di rumah Hj Mansor bin Fadal kampung Ubi, Singapura dan disaksikan oleh Pak Joned bin Hanim, Aisyah (Isteri Hj Mansor Fadal), Osman,Pak Kumari, Hosni bin Ahmad dan Pak Buang bin Bahar (Bapa Saudara Rafeah Buang).

1956 - Y.bhg. Dato’ Onn bin Jaafar telah menyertai Silat Seni Gayong kerana minat beliau untuk mempelajari Ilmu Silat Seni Gayong. Kemudiannya, beliau telah dilantik sebagai Penasihat Agung dan Waris Beradat Silat Seni Gayong. Keluarga Dato’Onn bin Jaafar dan keluarga Dato’ Meor Abdul Rahman mempunyai hubungan yang akrab. Mereka sering bertemu sekeluarga dan Dato’ Onn bersama Dato’ Meor Abdul Rahman sentiasa membincangkan hal-hal perpaduan dan penyatuan orang-orang melayu melalui wadah warisan seni silat. Siti Fadzillah akan menyediakan minuman dan turut sama mendengar setiap perbincangan Allahyarham Dato’ Onn bersama Almarhum ayahandanya.

1957 - Ketika berusia 16 tahun, Siti Fadzillah bersekolah di Batu Belayar English School berdekatan dengan Claymentie road Singapura. Dato’ Meor Abdul Rahman akan membawa Siti Fadzillah mengikuti latihan silat disebelah malam dan berlatih bersama pesilat lelaki di gelanggang Bakar Sampah, Kampung Ubi, Pasir Panjang dan Sim Avenue Singapura.

1958 - Siti Fadzillah menyaksikan usaha ayahandanya Dato’ Meor Abdul Rahman membina rumah dan berpindah ke Lorong Fatimah Woodlands serta membuka Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong. Pusat Latihan itu didaftarkan secara sah sebagai institut pendidikan Gayong dengan nama Gayong School Woodlands mengunakan alamat no: 13-A Lorong Fatimah Woodlands, Singapura. Di sekolah Gayong Woodlands, Siti Fadzillah giat berlatih bersama-sama gurulatih-gulatih yang datang dari serata pelusuk negeri dan tanah melayu ketika itu.

1960 - Pada usia 19 tahun, Siti Fadzillah menyambung persekolahan di Union English School Johor Bahru. Usaha memasukkan Siti Fadzillah ke sekolah di Johor Bahru telah dibantu oleh Encik Zainal Abidin iaitu anak kepada Dato Onn bin Jaafar dan Datin Fatimah.

1961 - Siti Fadzillah giat belajar dan berlatih silat dengan Pak Sidek bin Yeop, Cikgu Nordin Abd Rahman, Ibrahim, Rahman dan Ramli di Gayong School Woodlands, Singapura dan terus membantu ayahanda Dato’ Meor Abdul Rahman mengembangkan ilmu Silat Seni Gayong ke Semenanjung Tanah Melayu terutama di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

1962 - Siti Fadzillah terlibat secara langsung membuat beberapa persembahan dan pertunjukan Silat Seni Gayong besar-besaran di majlis-majlis seluruh Johor Bahru dan Singapura. Selepas keluarganya berpindah ke Alexandra Johor Bahru, Siti Fadzillah telah diajar segala ilmu kependekaran seni Gayong dari ayahandanya Dato’ Meor Abd Rahman serta diperturunkan petua-petua menjaga diri kerana beliau merupakan anak sulung tunggal yang akan mewarisi peninggalan ilmunya nanti.

1963 - Di Alexandra Johor Bahru, Siti Fadzillah sentiasa berpeluang menyertai dan mendengar perbincangan Dato’ Onn dengan ayahandanya tentang perpaduan dan penyatuan orang melayu ketika itu. Melihat perkembangan pesat Silat Seni Gayong ketika itu dan mampu menjadi wadah untuk penyatuan dan perjuangan bangsa, Dato’ Onn bin Jaafar mencadangkan Silat Seni Gayong diwartakan sebagai satu pertubuhan serta perlu didaftarkan secara sah. Dato’ Meor Abdul Rahman terus bersetuju dengan cadangan itu demi perpaduan orang melayu. Maka pada 22 Oktober 1963, Silat Seni Gayong telah berjaya didaftarkan sebagai sebuah Pertubuhan mengunakan nama Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaya dengan no. Pendaftaran 361. Pertubuhan Silat Seni Gayong ini merupakan Pertubuhan Silat yang pertama di daftarkan di Malaysia. Siti Fadzillah memasuki latihan Nursing di Tan Tok Sing Hospital dan Kandang Kerbau Maternity Hospital. Pada uisa 22 tahun Siti Fadzillah berkahwin dengan En. Hussin Bin Mohd Salleh bertarikh 11hb Ogos 1963 di Lorong Fatimah Woodlands, Singapura. Majlis perkahwinan ini menyaksikan persembahan Silat Seni Gayong diadakan secara besar-besaran dengan penyertaan dari ahli dan murid-murid Gayong seluruh pelusuk negeri Singapura dan Malaya. Dato’ Meor Abdul Rahman telah memanggil semua anak murid kanannya berkumpul dan mengadakan persembahan untuk majlis anakandanya Siti Fadzillah yang satu-satunya tinggal selepas pemergian Almarhummah Siti Aisyah ke Rahmatullah pada bulan Februari 1963.

1967 - Siti Fadzillah terus membantu ayahanda Dato’ Meor Abd Rahman dalam persembahan dan pertunjukan Silat Seni Gayong yang diadakan secara besar-besaran di padang Sekolah King Geoge V, Seremban yang telah dihadiri oleh Datuk Kelana Sungai Ujong. Dato’ Meor Abd Rahman telah meminta kebenaran anakandanya Siti Fadzillah untuk menerima Siti Kalsom @ Rokiah binti Naning yang merupakan anak angkat menjadi salah seorang murid Silat Seni Gayong bagi membantu ayahandanya mengembangkan Silat Seni Gayong memandangkan Siti Fadzillah telah mendirikan rumah tangga dan perlu mengikuti suami yang bertugas sebagai pegawai kebajikan masyarakat ketika itu. Siti Fadzillah telah memberi izin diatas pemintaan dan hasrat ayahandanya itu.

1968 - Siti Fadzillah aktif membantu suaminya sebagai pegawai kebajikan masyarakat melakukan kerja-kerja kebajikan di rumah orang-orang tua, rumah anak-anak yatim dan masyarakat miskin disekitar Negeri Sembilan dan Kuala Kubu Baru, Selangor.

1970 - Siti Fadzillah bersama keluarga mengikut ayahandanya Dato’ Meor Abd Rahman mengembangkan Silat Seni Gayong ke selatan tanah air iaitu Melaka dan Johor. Beliau aktif membantu mengembangkan Silat Seni Gayong sekitar daerah Seremban, Negeri Sembilan dengan dibantu diantaranya Abas, Basiron, Mat Padang, Fairus, Azman Hassan, Wahidin, Farouk dan Ali Bacha.

1987 - Dato’ Meor Abdul Rahman kerap hadir ke seremban, Negeri Sembilan melawat cucu-cucunya iaitu anak-anak Siti Fadzillah dan membawa mereka ke program-program Silat di gelanggang-gelanggang sekitar daerah Port Dickson Negeri Sembilan.

1991 - Selepas pemergian Dato’ Meor Abd Rahman ke Rahmatullah pada 23hb Jun 1991, Siti Fadzillah terus menyumbang kearah pergerakan Silat Seni Gayong yang diasaskan oleh ayahandanya dengan menerima Jemputan ke program-program serta majlis seni silat atas undangan dari Guru-guru kanan seperti Cikgu Awang Daud, Cikgu Sidek Yeop, Cikgu Nordin Abd Rahman, Cikgu Ahmad Ismail (Mat Putih) dan Cikgu Majid Mat Isa.

2007 - Pada 6hb Febuari 2007, Siti Kalsom @ Rokiah binti Naning iaitu anak angkat Dato’ Meor Abdul Rahman telah pulang ke Rahmatullah. Hajjah Siti Fadzillah terus memantau dan mengikuti perkembangan serta perjalanan Silat Seni Gayong ciptaan ayahandanya serta terlibat dengan jemputan ke majlis persilatan dari masa ke semasa.

Beliau boleh dihubungi : 06 7625945 ( Taman Temiang Jaya, Seremban, N.Sembilan)

SANG SAPURBA

Diantara hari kebesaran Silat Seni Gayong ialah Hari Sang Sapurba.  Hari tersebut di sambut pada 17 September pada setiap tahun.  Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman pada tarikh berkenaan akan merafak sembah bersama dengan rombongan pemimpin dan pesilat mengadap DYMM Sultan Perak di istana Kuala Kangsar.  Pada hari tersebut diadakan acara penyampaian sandang kebesaran Silat Seni Gayong dan acara persembahan silat.  DYMM Sultan Perak adalah Penaung Agong Silat Seni Gayong, dan pemegang sandang bergelar Sang Sapurba. Coretan ini adalah usaha untuk memberi sedikit penjelasan kepada anak-anak silat akan asal dan susur galur Sang Sapurba yang menjadi sandaran adat, adab dan jatidiri bangsa melalui kegiatan Silat Seni Gayong.

 

Sumber penulisan ini adalah hasil dari kompilasi maklumat yang diperolehi melalui pembacaan di You Tube.  Adalah diharapkan supaya langkah ini dapat mencetuskan minat anak-anak silat untuk membuat penyelidikan bagi mendapat fakta yang lebih tepat dan meyakinkan justeru mengangkat martabat Silat Seni Gayong sebagai satu cabang budaya bangsa yang relevan dalam mendidik anak bangsa dan menjadi agen pembawa rahmat kepada alam ini..

 

Assalamualaikum wbt.

Bismillahirrahmanirrahim

 

Menurut Sejarah Melayu, Raja Suran berketurunan Iskandar Zulkarnain masuk ke dalam laut dan berkahwin dengan Puteri Mahtabul Bahri, puteri Raja Aftabul ‘Ard kerajaan Basram di bawah laut. Hasil daripada perkahwinan ini, lahir tiga orang anak, Nila Pahlawan, Kerishna Pendita dan Nila Utama. Mereka dikatakan muncul di Bukit Siguntang, di tengah Sungai Melayu yang hulunya di Gunung Maha Miru, dekat padang Penjaringan dalam negeri Palembang (pada waktu itu, negeri ini dikenali sebagai kerajaan Buddha Sriwijaya sebelum kemunculan kerajaan Hindu Majapahit).

 

Setelah mereka muncul di Bukit Siguntang, Palembang, tiga beradik ini bertemu dua orang wanita, Wan Empok dan Wan Malini yang sedang berladang di sana. Dipendekkan cerita, Wan Empok berkahwin dengan Nila Pahlawan, Wan Malini dengan Kerishna Pendita. Nila Utama pula mendapat gelaran baru sebagai Sang Sa Purba.

 

Pada masa itu Palembang sedang diperintah oleh seorang raja yang dipanggil Demang Lebar Daun. Apabila mendengar khabar ada anak raja besar keturunan Iskandar Zulkarnain turun di Bukit Siguntang, baginda pun terus ke sana untuk bertemu-muka dan mengambil berkat kebesaran anak raja itu.

 

Berita ini tersebar jauh ke merata tempat sehingga raja-raja lain pun turut sama bertumpu ke situ. Sesetengah raja datang membawa kaum keluarga mereka. Maka Sang Si Perba pun mengambil mana-mana puteri raja yang elok untuk dibuat isteri dan mereka menerima sahaja kerana rasa bertuah bermenantukan anak cucu Iskandar Zulkarnain. Malangnya, semua puteri ini kedal setelah “dijamah” baginda (‘kedal’ penyakit kulit: kulit jadi berbelang atau bertelau-telau putih. Mengikut ceritanya, ini berlaku disebabkan ketinggian daulat baginda).

 

Tersebutlah nama Wan Sendari anak Demang Lebar Daun yang cantik paras rupa. Sang Sapurba ingin memperisterikannya tetapi si bapa pula takut puterinya pun akan kedal juga. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Jikalau anak patek tuanku peristeri, nescaya kedal ia. Tetapi jikalau tuanku mahu berwa’adat (berjanji sumpah setia) dengan patek, maka patek persembahkan anak patek ke bawah duli Yang di-Pertuan.”

Mengikut Sejarah Melayu, Demang Lebar Daun adalah orang yang pertama menggunakan bahasa “Yang di Pertuan” dan “Patek” apabila bercakap dengan raja, kerana Sang Si Perba itu keturunan raja-raja besar… Maka titah Sang Si Perba: “Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu?”

 

Sembah Demang Lebar Daun: 

 

“Adapun tuanku, segala anak cucu patek sedia akan jadi hamba ke bawah duli Yang di-Pertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinusta dengan kata-kata jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Shara’.”

 

Sang Si Perba pun bertitah: “Akan minta bapa itu hamba kabulkanlah. Tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba…”“Janji yang mana itu, tuanku?”“Hendaklah akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita. Jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekali pun”. “Baiklah tuanku. Tetapi jikalau anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patek pun mengubahkanlah.”Titah Sang Sapurba: “Baiklah, kabullah hamba akan wa’adat itu.”Mereka pun bersumpah-sumpahan serta berteguh janji, barang siapa yang mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah, tiangnya ke atas.

 

Berasaskan Sejarah Melayu (1621) susunan Tun Sri Lanang versi Shellabear dan John Leiden, lebih kurang 25 nama raja yang dianggarkan berketurunan Maharaja Zulkarnain atau Alexander the Great (356-323 SM) dari Pella Mecodania. Dari nama Raja Kida Hindi (puterinya Shahral Bariah dengan Iskandar ZK) hingga ke Raja Aftabul ARD dan seterusnya ke Raja Culan (Shellabear sebut Shulan) dan Raja Suran, terus ke Sang Sapurba yang mengahwini Wan Sendari anak perempuan Demang Lebar Daun, pemerintah Kerajaan Melayu Palembang.

 

Hasil perkahwinan Nila Pahlawan dan Wan Empuk, Krishna Pandita dan Wan Malini melahirkan Awang Dara, keturunan Melayu dari Bukit Si Guntang. Perihal perkahwinan Sang Sapurba dan Wan Sendari melahirkan empat orang anak iaitu Cendana Dewi, Sang Nila Utama (Raja Bentan dan Tumasek), Sang Maniaka dan Puteri Seri Dewi. Anak angkat Sang Sapurba - Puteri Junjung Buih berkahwin dengan rombongan China di Palembang. Keturunan Melayu-China ini penting sebagaimana juga perkelaminan Sultan Mansur dengan Hang Lipo di Melaka. Sang Sapurba menikahkan anaknya Cendana Dewi dengan Bentara Majapahit - mewujudkan talian diplomatik utama dengan Jawa. Perihal perkahwinan Sang Nila Utama dengan Wan Seri Beni - gelaran Sri Tri Buana (kerana menguasai Palembang, Bentan dan Temasik).

 

Sumpah setia diraja antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba antaranya tidak derhaka kepada raja, tidak menghukum rakyat secara zalim dan menghina, jika menghina zalim menghina ada balasannya, pantang Melayu derhaka kecuali raja nan zalim.

 

Keturunan mengikut legenda Sang Sapurba, Raja Melayu yang berasal daripada darah keturunan kesultanan Melaka boleh dikatakan sebagai menyusul geneologi Sang Sapurba (yang juga menjadi Raja Minangkabau purba melalui Sungai Kuantan, panglimanya Permasku Mambang pembunuh ular naga Sikati Muno - keturunannya Sang Nila Utama memerintah Bentan dan Temasik.

 

Sang Sapurba dijadikan Raja Galundi Tigo Selo, Padang Panjang, Minangkabau dan Singingi. Temasik selepas Sang Nila Utama diperintah oleh Pikrama Wira. Anak Sang Nila Utama, Raja Kecik Muda jadi Bendahara. Diganti selepas 15 tahun oleh Sri Rana Wikrama (13 tahun - meliputi kisah Badang). Diganti Damiya Raja (bergelar Paduka Sri Maharaja memerintah 12 tahun enam bulan, berlaku peristiwa Singapura dilanggar todak, berkubukan betis Hang Nadim dengan cadangan kubu batang pisang, akhirnya difitnah lalu dibuang ke laut Selat Sambu dengan ikatan rantai besi)..

 

Anak Damiya Raja, Parameswara bertindak kejam terhadap anak perempuan selepas dikahwini Sang Rajuna Tapa, anak perempuannya selepas dikahwini Sang Rajuna Tapa difitnah isteri Parameswara.

 

Selepas dibunuh, Sang Rajuna Tapa malu dan marah, lalu bersubahat dengan Majapahit. Parameswara dikalahkan, lalu lari ke Melaka dan menjadi sultan pada 1392. Sang Rajuna Tapa dikambus kilang beras menjadi batu. Kesaktian daripada sumpah Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba terbukti.

 

Sang Nila Utama raja yang memerintah   Bentan dan merupakan pengasas (founder) Singapura lama adalah putera kepada Sang Sapurba (Shellabear and Leyden - The Misa Melayu and Silsilah Perak).   Mengikut Shellabear and Leyden, keturunan Sultan-sultan Melayu mempunyai hubungan langsung dengan Sang Sapurba.   Bermula dengan Sang Nila Utama sebagai pengasas kerajaan  Singapura pada  1299,  empat generasi  pemerintah silih berganti mentadbir kerajaan ini sebelum pemerintah terakhir yang dikenali sebagai Parameswara.  Parameswara walau bagaimanapun telah berundur  menyelamatkan diri apabila kerajaannya diserang oleh kerajaan Majapahit pada 1398. 

 

Pada 1400, Parameswara berundur ke muara Sungai Bertam di semanjung Tanah Melayu dan telah memulakan kerajaan kesultanan  Melaka. Ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah Melaka (r. 1459–1477), seorang puteranya  bernama Raja Muhammad. telah dilantik sebagai raja Pahang pada 1470. Apabila  Portuguese menawan Melaka pada tahun 1511. Muzaffar Shah putera kepada  Mahmud Shah  Melaka (r.1488–1511) ditawarkan oleh kerajaan Perak untuk memerintah negeri itu. Manakala seorang lagi puteranya Alauddin Riayat Shah II ditawarkan memerintah negeri Johor pada tahun 1528.

 

Pada 1636, kerajaan Acheh telah melantik putera dari Siak sebagai pemerintah negeri Perak bagi mengganti Sultan Salehuddin Shah (r.1630–1635) yang telah berundur (exile) ke Acheh. Sultan baru ini mengambil nama Muzaffar Shah II (r. 1636–1654) dan mengisytihar bahawa baginda juga adalah keturunan Sang Sapurba di Siak. Pemerintah ini telah berkahwin dengan Fatima Puteh puteri kepada Raja Muda Pahang, Permaisuri Raja 'Abdu'llah adalah  Putri Perak, merupakan cucu  Sultan Mansur Shah I Perak (r. 1549–1577). Pada awal tahun 1623, pemerintah Pahang telah bertemu dengan pemerintah Johor bersama-sama dengan pemerintah-pemerintah kerajaan Melaka yang lain bagi mengukuhkan pengaruhnya dan mendapat sokongan kepada  kerajaan Johor.  Pada tahun  1688, Bendahara Johor telah berjaya mewujudkan  pengaruhnya sebagai pemerintah.

 

Keturunan Sang Sapurba berakhir di Johor apabila Mahmud Shah II (r. 1685–1699) telah dibunuh oleh Megat Seri Rama.  Baginda tiada meninggalkan waris lelaki.  Bendahara Abdul Jalil mengisytiharkan dirinya sebagai  Sultan  Johor bergelar Sultan Abdul Jalil IV. Ketika pemerintahannya, Bendahara telah mengarah penghapusan semua isteri Sultan Mahmud sebagai langkah untuk mengelak dari kemungkinan tuntutan kembali takhta oleh keturunan Sultan Mahmud Shah II. Menurut Hikayat Negeri Johor (Chronicles of the State of Johor) dan  Pahang Manuscripts, salah seorang isteri Sultan Mahmud bernama  Cik Apung puteri kepada  Laksamana berjaya melarikan diri ke Minangkabau dan melahirkan seorang putera bernama Raja Kechil.  Pada tahun 1717, Raja Kechil telah mengumpul pasukan tenteranya di Minangkabau dan berjaya menyerang dan menumbangkan pemerintahan Sultan Sulaiman yang mengambil alih pemerintahan Sultan Abdul Jalil IV pada peringkat awal.  Raja Kechil mengambil alih kesultanan negeri  Johor atas dasar haknya sebagai keturunan Sultan Mahmud Shah II. Namun begitu anggota tentera upahannya yang terdiri dalam kalangan orang-orang Bugis telah berpaling tadah dan menyebabkannya terpaksa berundur ke Siak.  Di Siak baginda menjadi pengasas kesultanan Siak. 

RUJUKAN PENULIS-PENULIS

SUSUR GALUR KETURUNAN SANG SAPURBA

Sang-Sapurba.png
bottom of page