top of page

TEKS UCAPAN ALUAN PERHIMPUNAN KHALIFAH BESAR & HARIMAU PELANGI CULA SAKTI

9 Sept 2023


2 SEP 2023 JAM 2.30 PETANG


Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ribuan terima kasih atas kehadiran para jemputan bagi meraikan perhimpunan khalifah besar dan harimau pelangi cula sakti yang dianjurkan oleh pertubuhan waris kerabat admar malaysia.Majlis pada hari ini adalah merupakan acara julungkali diadakan.


Kejayaan menganjurkan persidangan ini sudah tentunya mendapat keizinan dan keredhaan allah sbt. Marilah kita bersama berdoa supaya setiap langkah yang kita ambil akan sentiasa di bawah rahmat dan bimbingannya.


Saya percaya ramai di antara tuan-tuan dan puan-puan tidak maklum akan kewujudan dan penubuhan sebuah entiti baru dalam pengurusan pergerakan silat seni gayong yang bernama pertubuhan waris kerabat admar malaysia.


usaha penubuhan entiti ini telah bermula pada 8 februari 2020, apabila waris kerabat admar telah mengadakan perbincangan dan memutuskan supaya hendaklah diadakan sebuah badan rasmi dan berdaftar untuk menjaga kebajikan waris kerabat dan harta intelek dato’ meor abdul rahman. Walaupun isu ini telah ramai yang bercakap, tetapi tidak tindakan dari mana-mana pihak..


Isu ini timbul kerana perluasan dan perkembangan pengajaran silat seni gayong kelihatan tidak terkawal, dan terdapatnya unsur-unsur tidak patuh kepada bentuk dan prinsip asal ilmu serta perjuangannya. Yang menyedihkan lagi pihak waris kerabat ialah, apabila terhakisnya penghargaan jasa dato’ meor sebagai pengasas dan pencipta silat seni gayong dalam kalangan sejak akhir-akhir ini, dan ada pula yang menidakkan hak waris kerabat ke atas ilmu dan adat-istiadat silat ini.


Tidak kurang juga aduan diterima, ada pihak menggunakan nama dan hak intelek admar untuk tujuan agenda peribadi seperti mengumpul dana atas nama silat gayong dengan membuka gelanggang, kelab, akademi mahupun pertubuhan. Tidak kurang juga ada yang menghasilkan barangan jualan mengguna jenama admar atau silat gayong.


Jika kita perhati pada hari ini, bukan sahaja pelbagai pertubuhan atas nama gayong bercambah, malahan terdapat kelab dan akademi juga turut bercambah. Waris kerabat dalam hal ini tidaklah melihat perkara ini sebagai isu, bahkan ia menggambarkan masyarakat menerima silat gayong dengan baik, dan ramai yang bersedia untuk menyebarkan ajaran silat ini.


Tetapi yang merisaukan ialah terdapatnya episod-episod menokok-tambah ilmu dan adat-istiadat yang kononnya bersumber dari dato’ meor, dan tidak kurang juga kejadian dimana kandungan pelajaran dan amalan adat-istiadat tidak diturunkan sepenuhnya kepada murid-murid silat. Akibat dari peristiwa-peristiwa ini, waris kerabat khuatir ketulinan pelajaran dan adat-istiadat lambat laun akan terhakis beransur-ansur.


Pada 6 oktober 2020 jabatan pendaftaran pertubuhan malaysia (ros) telah meluluskan pendaftaran pertubuhan waris kerabat admar malaysia. Dengan kelulusan ini, maka pertubuhan tersebut menjadi sandaran rasmi untuk rujukan sanad ilmu dato’ meor, dan langsung juga menjadi sandaran kepada organisasi yang menganjur pengajaran gayong baik pada peringkat gelanggang, kelab, akademi mahupun pertubuhan.


Pendaftaran ini juga dapat memberi kekebalan undang-undang jika berlaku pertikaian terhadapat penggunaan mana-mana harta intelek admar oleh mana-mana organisasi silat.


Pada hari ini, pertubuhan waris kerabat mengambil langkah untuk menjelaskan akan signifikan dan relevan peranannya yang dirujuk sebagai waris mutlak, waris zuriat, dan waris amanah dalam organisasi gayong secara lebih inklusif. Melalui pemerhatian dan laporan, didapati ramai orang-orang gayong terperangkap dengan pemahaman bahawa pelaksanaan silat seni gayong hanya dari sudut pentadbiran pertubuhan sahaja. Ini telah banyak menimbulkan konflik pengurusan dan pengaruh.


Untuk itu waris kerabat ingin mengajak para hadirin supaya melangkah ke belakang dan keluar dari perangkap yang dinyatakan tadi. Setelah itu kenalpasti entiti-entiti pengurusan yang ada. Letak dan aturkan entiti-entiti ini pada tempatnya mengikut logika pentadbiran dan logika moral. Diingatkan bahawa meletak sesuatu bukan pada tempatnya adalah zalim. Tindakan ini akan berakhir dengan kecelaruan berpanjangan.


Kami waris kerabat yakin, dengan kejujuran dan keikhlasan tuan-tuan, puan-puan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin pada peringkat masing-masing akan dapat membawa perubahan pemahaman pengurusan yang bersesuaian dan bertepatan dengan senario yang ada pada hari ini.


Jelaskan kepada murid-murid masing-masing perkara yang dibentangkan sekejap lagi. Diingatlah sesuatu perkara yang salah, tidak akan menjadi betul walaupun dilakukan berulangkali. Kejahilan tidak akan mengatasi kebenaran.


Sebelum saya mengundur diri, bagi pihak pertubuhan waris kerabat, saya ingin merakamkan penghargaan kepada kehadiran semua jemputan pada hari ini. Penghargaan kami juga kepada kerjasama dari pssgm wpkl dan pusat sains negara atas penyediaan kemudahan menjayakan perhimpunan ini.


Dengan kata-kata ini, saya akhiri dengan lafaz dan doa, assalamualaikum wbt.


Sekian, terima kasih.

bottom of page