top of page

GAYONG BERKERIS

25 Dis 2023


Berkeris dalam Silat Seni Gayong bukan sekadar sebagai sebuah permainan atau Pelajaran, bahkan juga digunakan sebagai pelengkap apabila berbusana serta merupakan kelengkapan dalam menjalankan beberapa acara adat-istiadat.  Budaya berkeris, meletakkan silat ini sebagai sebuah badan budaya warisan bangsa Melayu.

 

Namun begitu sehingga ke hari ini, tiada panduan yang jelas berhubung dengan penggunaan jenis keris atau rupa bentuk keris yang ditetapkan oleh perguruan Silat Seni Gayong.  Adalah wajar perkara tersebut ditetapkan bagi tujuan keseragaman, dan jati diri perguruan.  Dalam masa yang sama juga amalan yang diwujudkan adalah sejajar dengan amalan berkeris bangsa Melayu.

 


Umumnya jenis dan rupa bentuk keris, melambangkan status pemakai dalam masyarakat di samping menjadi senjata mempertahankan diri.  Rupa bentuk keris adalah merujuk kepada kepada luk keris.  Lazimnya bilangan luk adalah mengikut angka ganjil seperti 1, 3, 5, 7, 9, 11, 13 dan seterusnya.  Kebiasaannya terjemahan kepada luk keris adalah seperti berikut:


a.         Sepukal             -          keris adat

b.         Luk 3                -          keris juang / bertikam

c.         Luk 5                -          pandai berbicara/guru

d.         Luk 7                -          berkarisma memimpin

e.         Luk 9                -          pemimpin

f.          Luk 11              -          kedudukan yang stabil dalam masyarakat

g.         Luk 13              -          berani mempertahankan hak (pancung tidak bertanya)

 


Dengan berlatar belakangkan budaya berkeris Melayu dan amalan berkeris ADMAR, ditetapkan Silat Seni Gayong mengaturkan

pemakaian keris mengikut aturan berikut

a.         Sepukal             -          acara pertabalan jawatan

b.         Luk 3                -          Khalifah Muda dan Khalifah

c.         Luk 5                -          Khalifah Kanan

d.         Luk 7                -          Ketua Beradat dan Waris Beradat

e.         Luk 9                -          Khalifah Besar dan ke atas

 

Semua latihan berkeris hendaklah mengguna Keris Luk 3.  Setiap Pertubuhan Kebangsaan dan Negeri diminta supaya mempunyai sebilah Keris Sepukal bagi tujuan pertabalan jawatan-jawatan adat masing-masing.  Diingatkan bahawa tiada perbuatan pertabalan bagi penyampaian Sandang Kehormat mahupun penyampaian watikah.  Dalam erti kata lain, tiada keperluan mengguna keris dalam menyempurnakan acara-acara terbabit.

 


 Dingatkan bahawa di negara Malaysia pemakaian atau menyimpan keris adalah tertakluk kepada Akta 357, iatu Akta Bahan-Bahan Kakikasan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958. Akta ini, bawah Seksyen 7(1) melainkan dengan kebenaran atau untuk tujuan tidak menyalahi undang-undang,, memperuntukan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebehi dua tahun, atau denda tidak melebehi dua ribu ringgit atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan kedua boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebehi tiga tahun. Perkara 6(1) juga menyatakan pesalah boleh dikenakan hukuman dua sebatan.

 

Namun begitu dalam Akta yang sama di perkara 6.(3)(b), sesebuah senjata akan dianggap dibawa untuk tujuan yang tidak menyalahi undang-undang sekirannya dibawa oleh seseorang sebagai sebahagian daripada pemakaian rasmi atau perayaan semasa acara rasmi atau perayaan.

 

Perkara 6(4) menjelaskan bahawa kesalahan di bawah seksyen (1) Akta ini, sesorang itu  boleh ditangkap tanpa waran dan tidak boleh diikat jamin.

bottom of page