top of page

GAYONG
PATUH
SYARIAH

PENDAHULUAN

Penulisan ini adalah bertujuan untuk dijadikan panduan kepada semua pengamal Silat Seni Gayong supaya terhindar dari amalan yang bertentangan dengan akidah dan syariah Islam yang sebenar. Semua pengamal Silat Seni Gayong dapat:

 

  1. Mengenalpasti dan memisahkan amalan yang berasaskan kepada ajaran agama dan amalan yang berasaskan kepada budaya

  2. Pengajaran Silat Seni Gayong mengukuhkan amalan agama

  3. Pengajaran Silat Seni Gayong tiada percanggahan dengan tuntutan syariah

LATAR BELAKANG

Allahyarham Dato’ Meor Abdl Rahman Daeng Uda Mohd Hashim, Mahaguru Silat Seni Gayong adalah berketurunan Bugis.  Ilmu dan pelajaran silatnya diperolehi dari datuk sebelah bonda (Sharifah Aluyah) Syed Zainal Abidin Al Atas (Tok Jenai).  Tok Jenai adalah seorang penghulu dari negeri Pahang.  Beliau merupakan di antara angkatan pejuang negeri Pahang yang menentang pentadbiran dan pemerintahan kerajaan British di sana.  Oleh kerana tekanan pemerintah yang bertali arus, maka Tok Jenai berundur dan berpindah ke Taiping, Perak.

 

Manakala susur galur  Dato’ Meor dari sebelah ayahandanya berinduk dari Daeng Kuning (Panglima Hitam) atau Pangeran Abdul Rahman dari Riau.   Panglima Hitam merupakan keturunan Daeng Marewah (5 bersaudara) dari Sulawesi.  Sementara yang lainnya mendarat di serata tempat di tanah besar dan kepulauan di serantau Alam Melayu,  Panglima Hitam telah mendarat di Ayer Kuning, Taiping, Perak untuk berkhidmat dan membina keluarga.

 

Dengan latar belakang sedemikian Allahyarham Dato’ Meor membawa bentuk dan amalan silat yang diatur dan dicipta bersekali dengan adat orang-orang Bugis. Ilmu dan amalan agama diwarisi dari Syed Zainal, manakala ilmu dan adat Bugis dari jalur keturunan sebelah ayahandanya.  Pengajaran silat yang dikembangkan oleh Dato’ Meor bermatlamatkan bukan sahaja untuk pemantapan fisik, tetapi bersekali dengan pemantapan rohani (agama) dan jatidiri muridnya.  Dalam erti kata lain unsur silat digarap dengan agama dan adat.

 

Pengasas dan pencipta Silat Seni Gayong, amat sedar bahawa  Islam amat menitikberatkan soal-soal akidah dan syariah.  Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber Al Quran, Hadis, Ijtimak dan Qias adalah ditolak.  Di dalam Al Quran didapati banyak ayat yang menunjukkan perlunya umat Islam mempertahankan diri dan kelengkapan senjata serta kemudahan-kemudahan yang perlu untuk mempertahankan diri, keluarga, masyarakat,  negara dan agama.  Dalam sejarah Islam ramai pahlawan-pahlawan Islam yang terkemuka dalam kalangan para sahabat Rusullah saw seperti Saidina Ali, Khalid Ibnu Walid, Amru b. Al As, Abu Ubaidah b. Jarrah, Saad b Abu Waqas dan sebagainya.  Mereka menentang Musyriqin, Quraisy dan penentang-penentang ajaran Islam dalam kalangan Munafikin.

Di dalam ilmu persilatan lazimnya terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi sama ada ketika hendak belajar silat setelah masuk atau selepas tamat dan diijazahkan.  Sehubungan dengan ini seperti silat lain, Silat Seni Gayong juga mempunyai syarat dan peraturannya bagi memenuhi keperluan pentadbiran dan adat yang dituntut dari  murid-muridnya demi untuk mengendalikan organisasi dan dalam masa yang sama membentuk dan membangunkan manusia yang hendak dididiknya. Ini termasuklah:

 

  1. Yuran pentadibran bagi membiayai pengurusan gelanggang, khidmat pengendali acara (Wakil Perlimau) dan hak waris Silat Seni Gayong

  2. Mandi Perlimau Tapak/Seni sebagai upacara menerima murid baru

  3. Mengukuh dan meningkatkan amalan ajaran Islam dan meninggalkan apa yang dilarang

  4. Patuh kepada ajaran guru dalam latihan

  5. Melaksanakan acara buka dan tutup gelanggang setiap kali menjalankan latihan

 

Acara-acara adat yang diamalkan dalam pengajaran Silat Seni Gayong menterjemahkan adat Melayu Bugis dan ajaran agama Islam.  Penggarapan kedua-dua unsur ini terdapat dalam acara adat-istiadat berikut yang menjadi asas amalan silat ini:
 

1. Majlis Perlimau Tapak
 

Majlis ini adalah acara penerimaan murid baru.Majlis tersebut bertujuan untuk mendapat komitmen mereka yang berhajat untuk mempelari ilmu persilatan bagi kaum lelaki.Acara-acara yang dijalankan ialah:
 

  • Akad berguru

  • Ikrar setia

  • Doa selamat 

  • Membersihkan diri (mandi)

  • Meraikan orang baru (kenduri)

 

2. Majlis Perlimau Seni
 

Majlis ini adalah acara penerimaan murid baru kaum wanita dan pesilat lelaki yang nak memulakan pelajaran senjata.Majlis tersebut bertujuan untuk mendapat komitmen mereka yang berhajat untuk mempelari ilmu persilatan bagi kaum wanita lelaki.Acara-acara yang dijalankan ialah:
 

  • Akad berguru

  • Ikrar setia

  • Doa selamat 

  • Membersihkan diri (mandi)

  • Meraikan orang baru (kenduri)

 

3. Membuka dan menutup gelanggang
 

Acara ini dijalankan pada setiap kali bermula dan menamatkan sesi latihan. Dalam upacra ini, pesilat akan membaca surat Al Fatihah, Al Ikhlas dan Selawat kepada Rasulallah sbt.Berkah bacaan ini didoakan

 

supaya disampaikan kepada Rasulallah sbt dan keluaga, Para Sabahat dan keluarga, Ibu bapa, Guru-guru, ahli-ahli Gayong dan muslimin-muslimat yang masih hidup dan yang mati lama dan mati baru (para arwah)……dan didoakan agar

 

latihan dapat (atau syukur) dijalankan dengan selamat

 

4. Majlis Mandi Minyak Panas
 

Acara mandi minyak panas adalah bertujuan pulang pulih (baik pulih) badan yang telah letih menjalankan latihan dalam beberapa tempoh waktu.Minyak panas yang dimasak dari santan kelapa disapukan (urut) kepada anggota badan secara beramai-ramai dengan saling bantu membantu menjalankan urutan. Minyak baru (panas) dapat menyerap dalam tubuh untuk memulihkan otot-otot yang cedera dan letih.

 

5. Majlis Khatam Keris
 

Acara Khatam Keris (senjata tradisi panglima Melayu) adalah majlis bagi pesilat-pesilat yang telah menjalani latihan berdasar kan pakej silibus latihan yang ditetapkan.Pada acara ini pesilat akan didedahkan dengan buah penamat (pemati).Aturcara majlis melibatkan acara-acara ritual adat (simbolik) meraikan kejayaan menamtkan latihan.Jamuan melibatkan kuih-muih dan masakan ayam yang disembelih untuk dimakan bersama oleh semua peserta dengan dimulakan dengan doa selamat dan kesyukuran. Berdasarkan kepada adat dan ritual yang diwarisi, acara ini dilaksanakan di tepi pantai (pergigian laut)

6. Majlis Khatam Lembing

Acara Khatam Lembing (senjata tradisi panglima Melayu) adalah majlis bagi pesilat-pesilat yang telah menjalani latihan berdasar kan pakej silibus latihan yang ditetapkan.Pada acara ini pesilat akan didedahkan dengan buah penamat (pemati).Aturcara majlis melibatkan acara-acara ritual adat (simbolik) meraikan kejayaan menamatkan latihan.Jamuan melibatkan kuih-muih dan masakan ayam yang disembelih untuk dimakan bersama oleh semua peserta dengan dimulakan dengan doa selamat dan kesyukuran. Berdasarkan kepada adat dan ritual yang diwarisi, acara ini dilaksanakan di air terjun.

Acara-acara yang dilaksanakan di atas melibatkan bacaan ayat-ayat suci dari Al Quran dan doa-doa untuk mendapat keberkatan ilmu yang dituntut.  Dalam masa yang sama juga diseri lengkap dengan bahan serta peralatan yang membawa kepada aura (semangat) membina jatidiri  Melayu Bugis beragama Islam


1. Surah-surah Al Quran​

  • Al Ikhlas              -           mengesakan Allah sbt

  • Al Falaq              -           keberkatan perlindungan

  • Al Annas             -           keberkatan perlindungan

  • Al Masad             -           peringatan untuk tidak khianat

  • Ayat Kursi          -           perakuan akan kuasa Allah sbt

 

2. Alat mandian
 

  • Limau nipis        -           wangian dan kebersihan diri

  • Akar sintok         -           membuang kotoran pada kulit

  • Bunga                 -           membangkit aura seri dan wangian

 

3, Makanan (kenduri)
 

  • Asam                   -           cabaran menuntut ilmu

  • Garam                 -           cabaran menuntut ilmu

  • Pisang emas      -           sajian kenduri

  • Ayam                   -           sajian kenduri

  • Kuih-muih          -           sajian kenduri

 

4. Peralatan
 

  • Jarum                  -           mudah menerima ilmu

  • Lilin                     -           menerangi hati

  • Kemenyan          -           mengangkat haruman suasana

 

Cita-cita dan halatuju pengembangan dan pengajaran Silat Seni Gayong digambarkan dalam logo Pertubuhan yang didaftarkan.  Logo ini memuatkan lakaran-lakaran yang menggarabkan asas-asas pengajaran nya berlandaskan adat, budaya dan sejarah Melayu Bugis dan agama Islam. 

Logo_White-Outline.png
  • Naga - Kehebatan Melayu Bugis menguasai laut

  • Harimau - Kesasaan langkah perajurit

  • Bumi - Menyebar pengajaran di seluruh dunia

  • Bulan dan bintang - Wadah perjuangan berpaksikan agama Islam

  • Keris bersilang - Semangat perjuangan Tuah dan Jebat
    (taat setia dan berani kerana benar)

  • Pedang - Adab langkah panglima Islam

  • Bengkung Cula 7 - Pelajaran dan kemahiran tertinggi

KRITERIA SILAT SENI GAYONG PATUH SYARIAH

Asal Usul Silat

 

  1. Tidak berasal dari Nabi Muhammad saw, para anbia atau diambil dari Al Quran dan Hadis atau berasal dari amalan para sahabat Nabi saw

  2. Teknik gerak tidak berasal dari pergerakan ibadat-ibadat tertentu seperti rukun-rukun sembahyang

  3. Tidak bersumberkan mimpi bertemu Rasulallah saw atau para anbia yang lain atau para sahabat serta ulama.

 

Syarat dan Peraturan

 

Ilmu persilatan ini tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam kerana ia tidak menetapkan syarat mengikuti pelajaranNYA:
 

  1. Mesti mengerjakan perkara-perkara yang sememangnya diwajib dan dituntut oleh agama seperti sembahyang, berpuasa dan tidak derhaka kepada ibubapa

  2. Mengaitkan sesuatu perbuatan dengan sesuatu akibat sehingga menimbulkan keraguan pegangan akidah

  3. Melakukan sesuatu perbuatan seperti mandi dan seumpama untuk membuang malapetaka atau sial

  4. Mengamal gerakan yang disertai dengan doa atau jampi serapah untuk mendapat kuasa perlindungan atau kekuatan dari makhluk ghaib atau makhluk halus

  5. Mentaati guru walaupun perkara-perkara yang jelas bercanggah dengan akidah dan syariat Islam

  6. Meletakkan  syarat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam 

 

Gurulatih

 

Gurulatih yang dilantik tidak dalam kalangan:

 

  1. Mereka yang melakukan perkara-perkara syirik, sama ada melalui perkataan, perbuatan atau iktikad,

  2. Mereka yang melakukan maksiat/jenayah dan yang bertentangan dengan moral,

  3. Pemecah belah masyarakat dan,

  4. Mentafsir ajaran agama Islam mengikut hawa nafsu.

 

Seorang gurulatih yang hendak melibatkan diri dalam hal agama ditentukan supaya mengetahui asas-asas agama Islam sama ada fardhu ain atau fardhu kifayah seperti rukun Islam, rukun iman, cara mengerjakan sembahyang dan sebagainya.

 

Gurulatih dilarang memasukkan atau menggunakan unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam seperti sihir dan ilmu kebal di dalam pengajaran silatnya.

 

Ikrar dan bai’ah
 

  1. Sumpah tidak dibenarkan, sebaliknya acara ikrar dibenarkan

  2. Murid-murid tidak boleh taat secara membuta tuli kepada gurulatih.  Mereka hendaklah mengikut perintah dan arahan selama tidak bercanggah dengan perintah Allah sbt.

  3. Ikrar dan bai’ah  adalah untuk mengukuhkan lagi  perkara-perkara yang telahpun diwajibkan di dalam Islam seperti taat setia kepada Allah sbt dan Rasul swt, ibubapa, guru dan sebagainya.

 

Bacaan-bacaan, amalan dan ikrar yang terdapat hendaklah mengandungi perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan akidah dan syariat Islam seperti memuja dewa atau nama berhala,

 

Di dalam upacara ikrar dan bai’ah sama ada dari segi fizikal atau mental hendaklah tidak mempunyai unsur-unsur yang mensyirik  Allah sbt dan menjatuhkan maruah seseorang sebagai umat Islam.

 

Pantang larang

 

  1. Tidaklah seseorang terlarang melakukan sesuatu itu atas sebab menjadi murid silat, tetapi adalah atas sebab ajaran agama Islam melarang melakukan sesuatu perbuatan. Umpamanya meninggalkan sembahyang, tidak berpuasa, taat kepada ibubapa, menghormati orang-orang tua, memecah belahkan masyarakat dan sebagainya.

  2. Tiada kaitan atau amalan dalam silat dengan pemujaan, meminta izin, perlindungan atau bantuan daripada makhluk ghaib

  3. Perkara-perkara yang harus dan halal tidak dihukumkan haram

ADAB

1. Adab Guru Dengan Murid
 

  • Tidak menganggap dirinya mulia dan tidak pernah bersalah

  • Mengelak diri dari dianggap orang perlu ditaati secara mutlak

  • Menganggap orang lain lemah dan,

  • Melarang murid mengagung dan taksub kepadanya

 

2. Adab murid seperguruan
 

  • Tidak memberi layanan yang khusus berbeza dari ahli masyarakat yang lain

  • Dilarang menimbulkan semangat kumpulan sehingga memandang hina kepada orang lain.

3. Adab murid dengan orang lain
 

  • Tidak mengutamakan guru silat dan murid-murid seperguruannya sehingga mengabaikan tanggungjawab hak dan kewajipannya kepada ibubapa, suami, isteri, anak dan ahli keluarga

  • Dilarang memandang rendah dan hina terhadap orang bukan dalam kalangan ahli silatnya

  • Mesti menjalinkan ikatan persahabatan sama ada sesama ahli atau orang lain.

 

4. Gerak langkah
 

  • Tidak dikaitkan dengan zat Allah dan sifat-sifat Nya atau merupakan maksud di sebalik kalimah atau nama-nama Allah atau sifat-sifatNya

  • Tidak diertikan sebagai maksud yang tersirat daripada diri jasad Rasulallah saw, para malaikat, nabi-nabi dan orang soleh

  • Tidak dimaksudkan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam atau perlakuan-perlakuan ibadat yang tertentu seperti dua kalimah syahadah dan sembahyang.

 

5. Amalan
 

  • Tidak memuja dan memperhambakan diri kepada sesuatu kuasa atau peribadi yang boleh mendatangkan nasib baik atau buruk kepada seseorang seperti hantu, dewa, keramat, kubur, keris, busut dan sebagainya

  • Tidak menggunakan tangkal dan azimat yang mengandungi rajah-rajah atau tulisan-tulisan yang tidak difahami, objek-objek tertentu dan bercampuraduk dengan ayat Al Quran.

  • Tidak mengamalkan bacaan-bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya untuk mengelak dari terdapat kata-kata pemujaan kepada berhala, iblis, syaitan atau nama berhala orang kafir serta bercampuraduk dengan ayat-ayat Al Quran.

  • Tidak meninggalkan ibadat-ibadat wajib yang dituntut di dalam Islam seperti sembahyang lima waktu dan puasa di bulan Ramadhan ketika melakukan amalan silat.

Pengijazahan (Khatam)
 

  1. Tidak melakukan isyarat menyembah atau menggerak tubuh yang melambangkan ketundukan yang menyamai atau melebehi ketundukan yang hanya layak kepada Allah sbt sahaja seperti, tunduk sembah kepada guru

  2. Tidak melakukan upacara-upacara yang mengandungi unsur-unsur penyembahan pemujaan, memohon bantuan atau memperhambakan diri kepada kuasa-kuasa atau tenaga-tenaga ghaib seperti mempersembahkan sedulang makanan, menyembelih ayam dan sebagainya.

 

Matlamat
 

1. Matlamat silat ialah untuk kesihatan tubuh badan, mendisiplinkan diri, hidup bermasyarakat, mempertahan kan diri dari bahaya, membina jatidiri dan mengangkat martabat bangsa

 

2. Pengajaran silat ini dilarang untuk tujuan:
 

  • membalas dendam, menuntut bela, menginaya, mengancam dan mengugut orang lain

  • menanam sifat keterlaluan sehingga hilang hormat kepada ibubapa, guru, ahli keluarga dan lain-lain

  • memupuk sentimen perkauman atau taksub golongan kumpulan ekstrim agama yang melampau dalam kalangan ahli.

PENUTUPAN

Garis panduan ini diharapkan supaya pengamal Silat Seni Gayong  dapat menghindarkan diri dan anak didik masing-masing menyimpang dari ajaran Islam yang benar. Mereka berupaya:

 

  • Mengenalpasti dan memisahkan amalan yang berasaskan kepada ajaran agama dan amalan yang berasaskan kepada budaya

  • Pengajaran Silat Seni Gayong mengukuhkan amalan agama

  • Pengajaran Silat Seni Gayong tiada percanggahan dengan tuntutan syariah

 

Rujukan

 

  1. JAKIM (1997) Garis Panduan Silat Menurut Islam

  2. Ah-ahli Kehormat Waris Kerabat ADMAR

  3. Lembaga Penasihat Waris Zuriat Silat Seni Gayong

 

Penulis
 

  1. Dato’ Hj Zaina Abidin Sarkom

  2. Hj Abdul Aziz Yatim

  3. Hj Mohd Anuar Abdul Hamid

  4. Ibrahim Rejab

  5. Hafizul Ayob

  6. Syarizal Maizan

LAMPIRAN

bottom of page